Pagi ini hampir saya tidak boleh menulis di blog ini kerana kelemasan dalam lautan puisi seorang sahabat saya dari 6 Sastera 1, SMMA 78. Tak saya sangka sahabat pendiamku ini ketika di Munshi dulu, sekarang ini menjadi seorang perakam rasa dan melodakkannya di atas pentas dan juga di corong udara. Bukalah Radio Melaka 102.3 setiap Isnin, 9.15 hingga 10.30 malam untuk mendengar cetusan hatinya terhadap puisi anak-anak Melaka.
Orang pertama yang menyambut saya di Munshi 78, Rani, atau manisnya Hj Rani Embi mengajar di SMK Tun Perak. Beliau bukan sekadar menjadi guru BM atau Sastera tetapi sekaligus menjadi aktivis bahasa dan sastera di peringkat negeri dan nasional.
Titian hidupnya selepas tamat Mushi 1978 di catat oleh beliau sendiri dan dihantar melalui pos laju kerana beliau khuatir dengan pengkhianatan talian internet. Ha ha, kena berbahasa jika menulis berkaitan dengan geng penyair tau.
Inilah catatan rasa sahabatku Hj Rani Embi:
Assalamualaikum,
Ini pertama kali saya memasuki laman blog Munshi 78. Menatap skrin ini mengingat kembali zaman sekolah ketika itu. Benarlah kata orang tua-tua " kalau kita selalu mengingati, tentu suatu hari kita temui".
Dulunya saya ni memang pendiam. Namun selepas 78, saya mengikuti kursus Risda selaku pegawai pengembangan dan mula terlibat dengan pentas. Bagaimanapun saya di Risda hanya 8 bulan sahaja dan menerima tawaran kursus pergurusan di MPSI (sekarang UPSI) 1980-1981. Perjalanan hidup saya bolehlah diringkaskan sebagai "Dari Bilik Darjah ke Pentas UPSI, Dari Halaman Rindu ke Gunung Kinabalu, Lalu ke kamar Puisi Negeriku:
1979 - Risda Taiping dan Melaka.
1980-1981: UPSI - Exco Penerbitan, Aktif teater - pengarahan, lakonan, penulis skrip, pendebat - Naib Johan Kebangsaan Antara Maktab Perguruan.
1982-1986: di Labuan Sabah - Guru dan Penceramah Sastera dan BM, Juru Latih kepada guru-guru dalam pengajaran Sastera dan BM, Mengarah teater 'Jin Bersaudara', Menulis dan menerbitkan Antologi Sajak - Tarian Laut 1 dan 2, Penaja Persatuan Penulis Labuan, Membaca puis seluruh kepulauan Borneo, Manila, Jakarta, Pemberita Sambilan BH/Bernama dan Setiausaha Persatuan Guru-Guru Semenanjung Sabah.
1987-1994: Mengajar di Segamat dan menjadi AJK Persatuan Penulis Johor dan AJK JIM Segamat. Mulai 1989 - Mengikuti Program Luar Kampus USM dan menjadi AJK Persatuan Mahasiswa Luar Kampus
1995 - sekarang: Guru di High School dan sekarang di SMK Tun Perak, Panel Penilai buku komsas/buku perpustakaan, Setiausaha 2 Ikatan Persuratan Melayu, Pengacara Pelbagai Program Peringkat Negeri dan Kebangsaan; antaranya Hari Guru Kebangsaan, Bulan Sastera Negara, Jambori Antarabangsa. Meneruskan program puisi samada sebagai sebagai pengacara dan pendeklamator pada peringkat negeri atau serantau misalnya Pertemuan Penyair Selat Selatan Batam, Indonesia dan Malam Puisi Usman Awang. Kini sebagai pengulas puisi di RTM Melaka 102.3 setiap Isnin jam 9.15 malam.
Begitulah perjalanan hidup sahabatku Rani ini yang memilih menjadi seorang pendidik dan penyair sekaligus. Orang macam ini memang tak pernah merasai kesusahan dan kepahitan hidup kerana setiap kesusahan dan kepahitan hidupnya akan dirakamkan dalam bait-bait puisi yang syahdu dan puisi yang puitis. Orang macam ini jika gagal cinta 10 kali pun tak mengapa kerana akan banyak sajak, cerpen dan novel yang terhasil. Ha ha.
Yang Rani paling terasa sedikit kepahitan hidupnya ialah betapa anak-anaknya terpaksa membesar dalam kereta melebehi lima tahun kerana anak-anak itu terpaksa mengikuti beliau di hujung minggu di dalam program jarak jauh USM kerana isterinya juga belajar bersama. Hebat-hebat.
Rani ada melampirkan sajak rindunya kepada kita. Esok saya masukkan dalam blog ini. Hari ini kenyang dah dengan info berkaitan dirinya itu. Ha ha.
Misteri siapa di Radio Melaka sudah terjawab. Sahara dan Norlida tak perlu tertanya-tanya lagi kan. Itulah kawanku yang memilih jalannya sebagai perakam alam melalui puisi-puisinya. Rani telah merasuah saya dengan sebuah buku antologi sajak "Melaka, Di Sini Segalanya". Ya hoooo.
(Gambar: Rani suami isteri pada 2008. Klik gambar untuk lebih jelas.)
0 comments:
Post a Comment