HARI-HARI TERAKHIR DI ASRAMA

Ini emel Tuan Hj Zakaria Jaafar, kesah hari-hari terakhirnya di asrama putera SMMA pada 1978:

Assalamualaikum wr. wb,

Bila saya baca kisah kena rotan beramai-ramai saya pula nak luahkan perasaan saya sebab kena buang asrama tanpa kesalahan. Kejamnya Warden asrama pada masa itu Cikgu Rosti.

Ceritanya begini. Pada suatu malam di hari-hari terakhir kita menduduki peperiksaan STPM 1978, Cikgu Rosti masuk ke setiap dom. Tujuan dia masuk ke setiap dom itu ialah untuk mencari siapa yang menghisap rokok. Ketika dia masuk ke dom saya, adalah beberapa orang rakan dalam tu. Kami tidak menghisap rokok dan kehadiran Cikgu Rosti tidak digentari. Kami selamba aje.

Cikgu Rosti bertanya ada sesiapa yang menghisap rokok dalam dom ini. Kami jawab tiada. Kemudian dia tanya saya "Awak ada menghisap rokok?" Saya jawab ada Cikgu, sekali sekala. Masa bila awak menghisap rokok?, tambahnya lagi. "Lepas makan, kadang-kadang lepas minum", jawab saya bersahaja. Bila dia mendengan jawapan saya dia terus buat keputusan "Awak dibuang dari asrama".

Saya tidak menunjukkan reaksi takut dengan hukuman itu. Sebabnya masa itu hanya tinggal satu atau dua kertas STPM yang belum saya duduki dan saya boleh berulang dari rumah dengan motorsikal. Keesokan harinya saya kemas barang saya dan sayapun meninggalkan asrama. Ada beberapa orang rakan yang menyaksikan peristiwa tersebut dan mereka bersimpati dengan saya sebab saya tidak merokok semasa dia datang ke dom. Dia bertanya sama ada saya ada merokok.

Pada hari penyampaian hadiah untuk pelajar cemerlang, setelah saya menerimanya dan keluar dari dewan saya terserempak dengan dia. Saya tidak menegur dia dan tidak menunjukkan reaksi benci terhadap dia. Itulah kisah saya.

Kalau nak kenal saya sekarang ni, ada gambar Pak Haji yang saudara Basir poskan dalam Blog ini. Gambar diambil ketika saya, Saudara Ali dan Saudara Basir minum di kawasan Cheras baru-baru ini. Mereka berdua yang minta saya ceritakan kisah kena buang asrama ini.

Wassalam.

Haji Zakaria Haji Jaafar.

Jadi jujur pun payah juga ya. Makan tuan. Ha ha.

1 comments:

Anonymous said...

Memang begitu sikap remaja, tak kira dulu atau sekarang. Kes Tn Hj ni, kiranya jujur tak bertempat, tak pasal2 cari pasal.